Tuesday 5 June 2012

Coretan Rasa Buat Anak-anak Didikku....

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Buat anak-anak didikku yang kutinggalkan di SMK Jalan Bukit, Kajang....

Maafkan cikgu kerana terpaksa meninggalkan kalian. Sesungguhnya memang berat hati cikgu untuk meninggalkan kalian, namun apakan daya kita semua terikat dengan rasa kasih dan sayang. Bukan cikgu tidak sayangkan kalian namun atas rasa tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri, cikgu terpaksa ke sini untuk bersama-sama suami dan anak-anak cikgu yang masih memerlukan kasih sayang dan bimbingan cikgu.

Buat anak-anak Tingkatan 1 Jati,
Cikgu tahu kalian mungkin tidak akan membaca coretan cikgu kali ini. Namun sesungguhnya menemui kalian membuatku cikgu merasakan bahawa cikgu seringkali gagal menjadi seorang guru. Karenah dan kenakalan kalian sering menguji kesabaran cikgu. Sehingga ke saat ini, masih belum kutemui bagaimana caranya untuk menjinakkan kalian. Cikgu sedar sikap kalian mungkin disebabkan kalian kebanyakannya berasal daripada keluarga yang bermasalah. Kalian sebenarnya dahagakan perhatian dan kasih sayang, namun itulah yang tak mampu cikgu berikan. Maafkan cikgu kerana tidak mampu berperanan sebagai seorang ibu yang baik... Sememangnya kenakalan kalian sering menggoyah kesabaranku namun adakalanya kenaifan kalian juga mampu mengalirkan air mataku....

Buat anak-anak Tingkatan 1 Dinamik, 1 Gigih dan 1 Hikmah,
Maafkan cikgu kerana sering memarahi kalian... Ingatlah... marah cikgu kerana sayang. Cikgu sayang kalian sama seperti cikgu sayangkan anak-anak cikgu. Walaupun singkat mengenali kalian, namun cikgu menyayangi kalian. Ingatlah walau sesiapapun pengganti cikgu selepas ini, belajarlah dengan rajin dan hormatilah dia sama seperti kalian menghormati ibu kalian. Kalau nanti kalian telah berjaya, sesekali ingatlah cikgu sebagai seseorang yang pernah hadir dalam hidup kalian walaupun hanya untuk seketika. Ingatlah kucupan terakhir cikgu di dahi kalian, sama seperti yang sering cikgu lakukan pada anak-anak cikgu... Kasih sayang dan doa cikgu akan tetap mengiringi langkah kalian... 

No comments:

Post a Comment